![]() |
Remaja adalah individu berusia di antara 11 hingga 21 tahun, yang merupakan transisi antara zaman kanak-kanak dan zaman dewasa. Proses ini melibatkan perubahan biologi, psikologi, sosial, dan ekonomi serta perubahan dari peringkat tidak matang ke peringkat matang (Azizi et al., 2005). Dari sudut kaca mata syariah, remaja adalah orang yang menginjak aqil baligh, yang memasuki kategori mukallaf, iaitu orang Islam yang dikenakan kewajipan atau perintah agama serta larangan Allah kerana telah dewasa, berakal (aqil baligh), serta telah mendengar dan mengetahui adanya seruan Agama Islam kepada mereka (H.M Zainuddin, 2013).
Remaja seringkali mengalami konflik kognitif yang menimbulkan persoalan mengenai persepsi diri mereka. Mereka akan sering mencari jawapan untuk mengatasi kekeliruan dalam persoalan identiti tersebut. Sejak awal remaja, mereka mula mempersoalkan dan meneroka identiti diri, iaitu siapa mereka dan siapa yang mereka ingin menjadi, peranan yang ingin diduduki ketika dewasa, serta tempat mereka dalam masyarakat (Meeus, Van De Schoot, Keijsers, Schwartz, & Branje, 2010). Golongan belia sangat disanjung dan diberi penghormatan yang tinggi dalam Islam, sehingga Al-Qur’an telah merakamkan kisah sekumpulan belia yang tegas mempertahankan keimanan, seperti yang terdapat dalam surah Al-Kahfi, ayat 13;
Identiti remaja ditentukan oleh pelbagai faktor, antaranya persekitaran. Pada fasa ini, remaja sedang mencari identiti ideal yang dipilih berdasarkan faktor tertentu dan kriteria yang sesuai. Faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan identiti termasuklah persekitaran, keluarga, agama, rakan sebaya, tingkah laku alam maya, dan pengalaman masa kecil. Permasalahan dalam pembentukan identiti boleh berlaku dalam pelbagai dimensi. Kecelaruan identiti dalam kalangan remaja menjadi titik mula kepada keruntuhan akhlak.
Selain mempunyai persoalan terhadap tingkah laku peribadi, remaja mula melihat dunia sebenar berdasarkan perspektif yang timbul semasa dalam proses perkembangan identiti. Sebagai contoh, kajian yang dilakukan oleh Absha Atiah Abu Bakar dan Mohd Isa Hamzah (2019) mendapati bahawa remaja terlibat dengan gejala sosial yang dipandu oleh diri sendiri, rakan sebaya, dan juga pengaruh media massa semasa perkembangan identiti mereka. Berdasarkan persoalan identiti tersebut, remaja sering kali merasa terdorong untuk mencuba sesuatu yang baharu, termasuk perkara-perkara yang berkonotasi buruk.