Dalam kehidupan seharian kita, semua orang berfikir dalam konteks masing-masing, ada yang berfikir mahupun menganalisis tentang prospek perniagaan mahupun kehidupan kita sendiri. Ada yang berfikir bagaimana menyelesaikan masalah semasa pembangunan perisian, berfikir tentang bagaimana menyelesaikan masalah kekurangan jualan bahkan berfikir tentang berfikir itu sendiri. Tetapi dalam banyak kes, berfikir berlebihan akan mempengaruhi produktiviti dan membawa kepada kesan positif. Keputusan yang drastik juga memberi impak buruk tanpa analisis yang sesuai. Penulis pernah bekerja sambilan di sebuah kedai yang mana pemilik kedai mengambil keputusan drastik berpindah ke tingkat 3 meskipun pada hemat penulis, tingkat 3 mempunyai pengunjung yang kurang berbanding tingkat bawah meskipun kedai serbaneka di tingkat 3 mempunyai ramai pengunjung. Akibatnya, kedai menanggung kerugian yang eksponen daripada sebelumnya.
Tetapi terlampau menganalisis juga memberi impak kepada keputusan. Hal ini dikenali sebagai paralisis dari analisis yang bermaksud akibat daripada terlampau banyak analisis/berfikir membawa kepada tiadanya tindakan mahupun penyelesaian yang sesuai ataupun kelewatan keputusan mahupun kesimpulan yang mempengaruhi produktiviti. Hal ini disebabkan seseorang mahupun sesebuah organisasi menginginkan solusi yang sempurna hingga membawa kepada pengelakan daripada sebarang kesilapan yang jauh daripada jangkaan yang realistik. Punca perkara ini adalah memikirkan banyak perkara yang tidak perlu ketika membuat keputusan ataupun memikirkan banyak pilihan yang terus menerus mempengaruhi kesimpulan yang masih kabur.
Perkara ini berlaku dalam berbagai aspek dalam kehidupan. Daripada pelaburan, ekonomi, teknologi, pendidikan hinggalah kehidupan peribadi bahkan dalam kelompok pemikir sendiri. Dalam kehidupan peribadi pula, kita banyak mengira faktor yang tidak penting bahkan mungkin tidak wujud hingga menyebabkan tindakan untuk melakukan sesuatu menjadi terhambat. Apa orang fikir nanti? Kalau aku pilih itu kan yang tu tak dapat? Boleh ke aku buat ini? Serta banyak lagi contoh monolog. Sekiranya anda berfikir sedemikian, ianya hanyalah imaginasi, kalau betulpun apa yang kata hanyalah persepsi dan kita sukar menggubah persepsi orang lain terhadap kita. Tujuan hidup kita bukan untuk memenangi persepsi orang lain.
Dalam sesetengah kelompok pemikiran yang memikirkan ideologi yang mana sesuai hingga menoktahkan kesimpulan semua ideologi adalah tak berguna, adalah contoh paralisis dari analisis yang sukar menentukan yang mana sesuai serta mula bertindak. Tidak semua orang adalah pemikir dan mahu menjadi pemikir ideologi mahupun pemikir falsafah, setiap orang adalah pemikir adalah konteks masing-masing. Kita mungkin banyak ilmu mahupun pengetahuan tetapi bagaimana kita melakukan sesuatu dengan pengetahuan itu? Adakah masih sebagai teori atau mula bertindak dan membuat kesimpulan?
Dalam model air terjun, anda tidak boleh berpatah balik ke proses sebelumnya dan tersekat pada proses analisis menyebabkan proses seterusnya seperti reka bentuk dan implementasi yang statik dan tidak bercorak. Bagaimana kita dapat melaksanakan sesuatu jika proses analisis yang berlebihan apatahlagi jika masa terhad tetapi analisis melampau skop dan objektif?
Perkara ini terjadi dalam hampir semua aspek dalam kehidupan seharian kita. Situasi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bidang. Fikirkan satu solusi dan mulakan tindakan, satu proses telah berlaku dan perbaiki jika ada kesilapan. Bagaimana pendapat anda?